SEORANG kelindan lori mengaku bersalah atas tuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kenalan bawah umur di Mahkamah Seksyen Muar di Johor pada Khamis. Susulan itu Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh, Muhammad Syazwan Akmal Mohd Hanafadil. Terdahulu Muhammad Syazwan, 27, dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kenalan berusia 16 tahun itu pada pukul 9 pagi, 20 Februari lalu di sebuah hotel bajet di daerah Muar. Bagi pertuduhan kedua pula, Muhammad Syazwan didakwa merogol mangsa dalam sebuah bilik kira-kira pukul 8 pagi pada 23 Februari lalu dengan semua kejadian itu berlaku di sebuah hotel bajet dekat Sungai Abong di daerah Muar. Tertuduh tidak diwakili peguambela ketika pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir. Bagaimanapun ketika prosiding berlangsung, Muhammad Syazwan berkata dia melakukan perbuatan berkenaan atas dasar suka sama suka. Sebelum ini, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan mangsa berbanding tertuduh. Selepas mengambil kira rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan bagi kesalahan mengikut Seksyen 14 (a), manakala Seksyen 376 (1), tiga tahun dan dua sebatan. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditahan pada 8 Mac lalu serta perlu menjalani pengawasan polis selama setahun sebaik selesai menjalani hukuman. Merujuk kepada fakta kes, tertuduh mengenali mangsa kerana kerap singgah makan di kedai milik ibu remaja itu. Pada hari kejadian, tertuduh membawa mangsa kononnya mahu mengajak keluar makan sebaliknya melencong ke sebuah hotel di tengah bandar Muar. Satu laporan polis dibuat mangsa dan tertuduh ditahan di sebuah rumah di Jalan Bakri, di sini pada pukul 3.30 pagi, 8 Mac lalu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube