suria

Sayu! Suami isteri maut rumah teres dua tingkat terbakar 70 peratus

Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran yang berlaku.

TRAGIS.

Pasangan suami isteri warga tempatan maut selepas kediaman dua tingkat di Jalan SS 21/18 Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor musnah 70 peratus dalam kebakaran pagi Sabtu.

Anak pasangan tersebut yang berusia 14 tahun bagaimanapun terselamat daripada kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi itu.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, laporan kebakaran diterima pada pukul 5.13 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara dan BBP Petaling Jaya dikejarkan ke lokasi.

“Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, kebakaran berlaku di bilik utama di tingkat atas dan dapur tingkat bawah.

“Anggaran kemusnahan 70 peratus dan melibatkan tiga mangsa iaitu sepasang suami isteri dan remaja perempuan yang dipercayai anak pasangan itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 tahun dan 55 tahun disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun itu berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.

“Pegawai Penyiasat kebakaran tiba di lokasi kira-kira pukul 6.30 pagi manakala bantuan anjing pengesan K9 telah dimaklumkan untuk hadir bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain