suria

KK Mart mohon maaf, semua stoking kalimah Allah dah ditarik balik tapi siasatan tetap diteruskan - KDN

KDN akan meneruskan siasatan berikutan isu penjualan stoking tertera kalimah 'Allah'.

SIASATAN berhubung penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' tetap diteruskan walaupun permohonan maaf sudah dibuat oleh rangkaian kedai serbaneka, KK Mart dan vendornya.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah sebagai langkah menangani isu yang mencetuskan kegemparan dan kegusaran dalam masyarakat.

"KDN memandang serius isu ini dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan melaksanakan (pemeriksaan) di semua premis KK Mart di seluruh negara.

"Hasil pemeriksaan yang kita buat, didapati KK Mart sudah menarik balik semua stoking berkenaan di semua cawangannya di seluruh negara.

"Namun demikian, siasatan lanjut kita laksanakan terhadap pengurusan dan vendor-vendor yang terlibat bagi memastikan stoking ini tidak lagi berada di pasaran dalam negara ini," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjualan stoking tulisan kalimah Allah cemar kesucian Ramadan... KK Super Mart mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Stoking tertera kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh, jadikan pengajaran

Shamsul Anuar menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkaitan tindakan yang akan diambil oleh KDN bagi menghentikan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah serta adakah pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dibuat.

Tular di media sosial minggu lalu mengenai penjualan stoking yang tertera kalimah Allah dijual di kedai rangkaian serbaneka KK Super Mart.

Susulan itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf.

Shamsul Anuar berkata, sehingga kini, polis sudah menerima 36 laporan berkaitan penjualan stoking tersebut dan satu kertas siasatan sudah dibuka.

Dia juga menjangkakan bahawa pihaknya akan membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 itu di Dewan Rakyat pada tahun ini.

"KDN dalam tindakan untuk meminda akta ini bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan kehendak semasa, terutama sekali berkaitan dengan jenayah dalam talian dan sebagainya.

"Begitu juga pada 11 Mac tahun ini, kita sudah adakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi mengemaskini dan memastikan pindaan ini dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain