suria

Stoking tertera kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh, jadikan pengajaran

Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini.

ISU penjualan stoking tertera kalimah Allah tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi ia berlaku ketika bulan Ramadan, kata Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, terdapat pihak yang menyatakan jangan terlalu sensitif berkenaan isu berkenaan, namun disebabkan kalimah Allah ia sesuatu yang sangat tinggi di mata umat Islam.

"Saya rasa sedih dan kesal dengan apa yang berlaku. Kita berada dalam bulan Ramadan, ada yang menyatakan jangan terlampau sensitif dengan isu Allah letak di stoking tetapi ini tidak boleh dibiarkan.

"Allah adalah pencipta kita dan perbuatan meletakkan Allah di kaki adalah satu penghinaan yang tidak boleh kita remehkan," katanya kepada pemberita, pada Ahad.

Beliau berkata, permohonan maaf telah dibuat tetapi pihaknya berharap pada masa akan datang syarikat tersebut tidak mengambil mudah perkara sebegitu.

Menurutnya lagi, syarikat terbabit serta pemborong perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

"Permohonan maaf telah dibuat, tapi yang pastinya kita harap pada masa hadapan, KK Super Mart tidak ambil remeh tentang perkara sebegini dan mana-mana jabatan audit perlu tengok dahulu barang yang dibawa masuk.

"Perkara sensitif susah nak dimaafkan. Diharap KK Super Mart dan pemborong serta penjual lain harus mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Ia sangat sensitif, kena beri ruang kepada umat Islam (untuk memaafkan perbuatan ini)," katanya lagi.

Pada masa sama, Mohd Na'im meminta umat Islam di negara ini bertenang dan memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menyiasat isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai rangkaian serbaneka KK Super Mart.

Susulan itu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai tampil memohon maaf.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain