suria

Terjatuh dalam tangki 4 meter, pekerja kilang patah kaki dan bahu

Pasukan bomba menyelamatkan mangsa yang terjatuh. -Gambar JBPM

MALANG tidak berbau, seorang pekerja kilang terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di kawasan perindustrian Kulim Hi Tech di Kulim, Kedah.

Dalam kejadian pada Ahad, mangsa mengalami patah kaki dan bahu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Azmir Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, kira-kira pukul 9 malam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Puat Ghazali tiba di lokasi bersama tujuh anggota.

"Setibanya di lokasi, didapati pekerja warga Bangladesh berusia 25 tahun masih berada di dalam tangki berkenaan dipercayai terjatuh dan mengalami patah kaki dan bahu.

"Anggota memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari tangki itu menggunakan 'rope rescue' dan pengusung," katanya dalam kenyataan.

Menurut Azmir, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain