suria

Gara-gara video lama tular semula, remaja buat aksi ‘wheelie’ atas lebuh raya dicekup polis

Video tular remaja membuat aksi 'wheelie' mendapat perhatian pihak polis.

SEORANG remaja berusia 18 tahun ditahan polis selepas dirakam membuat aksi 'wheelie' di atas lebuh raya yang sedang sibuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kejadian berlaku di Lebuhraya Utara Selatan pada 2 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun video suspek membuat aksi lagak ngeri itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

"Kami berjaya menjejaki suspek dan menahannya kira-kira pukul 7.15 malam di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang pada Sabtu, 16 Mac.

"Suspek berkata dia sedang dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Butterworth, Pulau Pinang ketika rakannya merakam dia membuat aksi tersebut," kata Mohd Azman dalam satu kenyataan pada Ahad, 17 Mac.

Tambah Mohd Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana pemanduan secara melulu dan berbahaya.

"Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang trafik dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain," ujarnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain