suria

Polis sahkan 2 maut, 13 cedera nahas bas persiaran terbalik di Lebuhraya Karak

Bas terbalik di Lebuhraya Karak awal pagi Jumaat.

DIKEMASKINI. Polis mengesahkan seorang lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan maut manakala 13 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran terbalik dan melintangi laluan dua lorong berhampiran Hentian Rehat Lentang arah timur, Lebuhraya Karak di Bentong, Pahang.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan membabitkan bas persiaran yang membawa 20 penumpang termasuk pemandu pada pukul 8 pagi, Jumaat.

Ujar beliau, mangsa yang maut termasuk seorang lelaki warganegara asing dan seorang lagi penumpang wanita yang masih belum dikenal pasti.

Katanya, bas tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur ke Kuantan.

"Pemandu dan seorang wanita cedera parah manakala 11 lagi dilaporkan cedera. Lima daripada mangsa terselamat tanpa cedera," kata Zaiham.

Tambah beliau, mangsa yang maut dan mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Bentong untuk tindakan lanjut.

Pada masa sama, beliau turut menyangkal dakwaan mangsa tersepit di bawah bas seperti yang tular di media sosial sejak awal pagi Jumaat.

Terdahulu, Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong, Badrul Hisham Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.53 pagi berkenaan kemalangan bas.

Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer dari lokasi berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain