suria

Wanita warga emas maut, kereta hilang kawalan rempuh pagar rumah

Rempuhan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

SEORANG wanita warga emas maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh pagar rumah dan sebuah kereta lain dalam kejadian yang berlaku pada petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, wanita berusia 70 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pintu pagar dan sebuah kereta yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Taman Gabungan.

Ujarnya, akibat rempuhan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas maut dirempuh 3 kenderaan, tersepit di kerusi pemandu

"Sampel darah pemandu juga telah diambil untuk dianalisis.

"Bedah siasat sedang dijalankan untuk mengetahui punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam pada itu menggesa mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes ini agar tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881 255 (sambungan 414) bagi membantu siasatan.

Polis turut menasihatkan pemandu supaya berwaspada dengan keadaan kesihatan masing-masing sebelum memandu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain