suria

Bukit Aman tak tolak kemungkinan lelaki Israel rancang serangan

Sidang media oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain di Bukit Aman pada Selasa. -Foto Thestar

BUKIT Aman tidak menolak kemungkinan bahawa warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan baru-baru ini, merancang untuk melakukan serangan di negara ini, kata Tan Sri Razarudin Husain.

Ketua Polis Negara berkata, polis telah mengambil maklum bahawa suspek berusia 38 tahun itu memilih untuk memasuki negara ini pada bulan puasa dan mungkin merancang serangan semasa Hari Raya Aidilfitri.

"Suspek memberi alasan mahu memburu musuh dari seteru mereka tetapi ini tidak boleh diterima dengan mudah.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Avitan boleh mengancam pemimpin negara, diplomat asing dan juga pemimpin dari Hamas.

ARTIKEL BERKAITAN: Balas dendam! Warga Israel masuk Malaysia sebab nak bunuh ketua geng musuh

"Membongkar motif sebenar Avitan memiliki enam pistol dan 200 butir peluru adalah titik fokus dalam siasatan yang boleh mendedahkan sebab dia datang ke Malaysia.

"Jadi kita mesti meneroka semua sudut dalam siasatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Selasa.

Beliau juga berkata, secara logiknya, suspek tidak memerlukan pistol sebanyak itu untuk membunuh satu sasaran.

"Tumpuan kini adalah untuk membongkar motif sebenar suspek," katanya.

Razarudin dalam pada itu memuji penahanan Avitan hasil risikan yang dikumpul oleh Cawangan Khas.

Avitan ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu (27 Mac) bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru.

Susulan penahanan warga Israel itu, sepasang suami isteri warga tempatan berusia awal 40-an kemudian ditahan di Kuala Selangor pada Jumaat (29 Mac) kerana disyaki membekalkan senjata kepada suspek.

Seorang lelaki tempatan, dipercayai pemandu Avitan di negara ini, turut ditahan di Cameron Highlands, Pahang.

Terdahulu, Razarudin berkata polis sedang mengesan lebih ramai suspek dalam kes tersebut. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain