suria

Khairulaming tutup kilang, bawa staf shopping... Setiap orang dilihat dapat bonus ‘berkepuk’!

Khairulaming tidak lokek berkongsi rezeki dengan pekerjanya.

SEPERTI tradisi setiap tahun, usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairulaming tidak lokek mengeluarkan wang untuk menggembirakan pekerjanya menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamaruzzaman, baru-baru ini menutup dua operasi kilangnya demi membawa kesemua 100 pekerjanya untuk membeli baju raya.

Menerusi perkongsian di laman sosial, jelas kelihatan riak wajah gembira kesemua staf kilang Sambal Nyet dan Dendeng Nyet ketika dibawa ke sebuah gedung pakaian terkenal.

Tidak sekadar itu, mereka kemudian dibawa membeli-belah barangan keperluan dapur sebagai persediaan menyambut 1 Syawal.

Paling menggembirakan, usahawan berusia 31 tahun itu memberikan bonus raya kepada setiap pekerjanya sebagai tanda menghargai usaha serta penat lelah mereka membangunkan jenama produknya.

AMING 2

Para pekerja dibawa membeli-belah barangan keperluan dapur dan diraikan di hotel.

"Kita kongsi rezeki dengan mereka, dengan harapan duit raya ini dapat bantu mereka buat persediaan raya dengan family," ujarnya di dalam video yang dikongsikan di laman sosial.

Seperti mana tradisi setiap tahun juga, Khairulaming kemudian meraikan para pekerjanya dengan membawa mereka berbuka puasa di sebuah hotel.

ARTIKEL BERKAITAN: Khairulaming ajak staf ‘raya awal’! Bagi bonus, tutup kilang bawa semua pergi shopping... tolak demand sambal 3 kali ganda pada Ramadan

Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen yang rata-ratanya memuji selebriti media sosial itu kerana sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya.

Tidak terkecuali, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza juga antara yang turut kagum dengan kemurahan hati pempengaruh itu.

AMING 3

Rata-rata warga maya memuji sikap pemurah Khairulaming yang tidak melupakan kebajikan pekerjanya.

Selain dibanjiri dengan pujian, ruangan komen juga turut meriah dengan komen lucu netizen yang berseloroh mahu bekerja di kilangnya.

"Bang, ada kerja kosong tak? Saya boleh jadi tukang rasa sambal.

"Macam manalah staf tak sayang bos baik macam ni. Selamat maju jaya Khairulaming dan team.

"Wow duit raya bukan kaleng-kaleng. Tebal benor!," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain