suria

mStar dan KPJ Healthcare bawa klinik bergerak santuni gelandangan menerusi program Jalinan Kasih Prihatin mStar Baek

mStar - KPJ Healthcare menyantuni golongan gelandangan selain menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma.

KEHIDUPAN di tengah-tengah Kuala Lumpur tidak semuanya indah kerana di sebalik teguhnya binaan gah bangunan yang tinggi mencakar langit, terselindung 1,001 kisah suka dan duka kelompok gelandangan yang menjadikan lorong-lorong kecil dan gelap sebagai kediaman mereka.

Menyedari gelandangan atau dikenali sebagai Sahabat Jalanan juga perlu diberi perhatian, portal hiburan dan gaya hidup mStar bersama team KPJ Healthcare Berhad turun padang menyantuni mereka sekitar Jalan Belia, Chow Kit pada malam Isnin dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi segmen mStar Baek.

Ketua Pengarang Berita mStar, Niezam Abdullah berkata, ia merupakan satu projek khas portal itu bersama pihak KPJ Healthcare untuk menyantuni golongan gelandangan yang perlu diberi perhatian terutamanya pada bulan Ramadan yang penuh barakah ini.

mStar bersama KPJ santuni gelandangan serta buat pemeriksaan kesihatan percuma. 01 APRIL2024 —CHAN TAK KONG/The Star

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan (tengah) bersama sukarelawannya menyantuni gelandangan di Chow Kit pada Isnin.

"Kerjasama ini adalah projek kedua mStar dalam segmen mStar Baek selepas kejayaan program serupa tahun lalu yang dilakukan bersama pengeluar produk kecantikan Noir Beauty Health & Beauty.

"Kolaborasi pihak mStar bersama pihak KPJ Healthcare Berhad pada kali ini pula lebih menarik kerana sasarannya lebih luas, tidak tertumpu kepada artis dan selebriti sahaja tetapi golongan gelandangan dan orang awam yang hidup menderita turut diberi perhatian," katanya.

Tambahnya, untuk menampakkan program mStar Baek ini lebih menarik, pihak KPJ Healthcare turut membuka klinik Waqaf An-Nur bagi membolehkan masyarakat gelandangan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Editor Eksekutif Rekabentuk Kandungan, Tung Eng Hwa (kiri) bersama team KPJ Healthcare menziarahi dan memberi bantuan kepada golongan memerlukan.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan pula berkata, program kebajikan seperti ini perlu diperluaskan pada masa hadapan bukan sahaja untuk membantu gelandangan tetapi juga bagi menzahirkan keprihatinan sesama insan.

"Ikhlas dari hati, selepas saya turut serta dalam program mStar Baek ini, saya menempuh pengalaman cukup menginsafkan apabila melihat kesengsaraan orang lain. Kita fikir kehidupan kita sudah cukup susah tapi susah lagi kehidupan sahabat jalanan yang menempuh pelbagai cabaran untuk hidup setiap hari.

mStar bersama KPJ santuni gelandangan serta buat pemeriksaan kesihatan percuma. 01 APRIL2024 —CHAN TAK KONG/The Star

Hygiene Kit bersama roti diagihkan kepada golongan gelandangan.

"Banyak kita boleh belajar menerusi program malam ini yang boleh memberi kesedaran kepada kita. Saya percaya masyarakat (gelandangan) dekat sini ada banyak kisah suka dan duka yang boleh dikongsikan kepada kita yang mana selama ini mereka dipinggirkan," ujarnya.

Selain Keat Chyuan dan 46 sukarelawan, pihak KPJ Healthcare Berhad turut disertai Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr Mohammad Iqbal Mohamad Sarwar dan Ketua Pegawai Sumber Manusia, Norhamijah Mohd Hanafiah manakala Star Media Group pula disertai oleh team mStar serta Pengarang Eksekutif Rekabentuk Kandungan, Tung Eng Hwa.

mStar bersama KPJ santuni gelandangan serta buat pemeriksaan kesihatan percuma. 01 APRIL2024 —CHAN TAK KONG/The Star

Gelandangan mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma di Klinik Bergerak Waqaf An-Nur.

Sebanyak 500 Hygiene Kit dan roti turut diagihkan untuk golongan kurang berkemampuan sebagai bagi menggalakkan penjagaan kebersihan serta kesihatan diri.

"Malam ini kami membantu gelandangan yang tidak boleh berjalan dan tidak berkemampuan untuk membayar rawatan kesihatan sendiri. Jadi kami sediakan kit kesihatan dan kemudahan ini sebagai khidmat masyarakat kepada mereka.

"Saya terharu melihat pasukan dari sukarealwan KPJ membantu walaupun di bulan puasa termasuklah Datuk Dr Iqbal yang merawat pesakit gelandangan. Terima kasih juga atas jemputan kolaborasi ini daripada mStar," tambah Keat Chyuan.

mStar bersama KPJ santuni gelandangan serta buat pemeriksaan kesihatan percuma. 01 APRIL2024 —CHAN TAK KONG/The Star

Program Jalinan Kasih Prihatin pada Selasa menyaksikan kerjasama antara mStar dengan KPJ Healthcare Berhad.

Untuk rekod, program mStar Baek diterbitkan untuk siaran di semua platform video dan media sosial mStar dan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober lalu yang menyaksikan Jaafar Onn sebagai selebriti dan artis pertama yang menerima kunjungan team.

Peserta terpilih turut menerima wang tunai RM3,000 untuk perbelanjaan harian, kad perubatan untuk kegunaan 12 kali rawatan serta kelengkapan alat bantuan perubatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain