PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi tahun 2023 sebanyak 3.60 peratus membabitkan peruntukan berjumlah RM357.65 juta. Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengumumkan perkara itu berkata, agihan tersebut akan memberi manfaat kepada 6.25 juta akaun. Ujarnya, jumlah itu menjadikan agihan dividen secara keseluruhannya bernilai RM1.69 bilion sejak Simpan SSPN diperkenalkan pada 2004. "Pemberian dividen 3.60 peratus bagi tahun 2023 ini adalah lebih tinggi berbanding agihan dividen sebanyak 3.05 peratus pada tahun 2022. "Ini sekali gus menunjukkan kecekapan PTPTN dalam pengurusan dana simpanan dengan efektif berlandaskan tadbir urus yang cemerlang, berintegriti dan strategik bagi memastikan pulangan optimum diberikan kepada para pelanggan," katanya dalam sidang media di Lobi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pada Jumaat. Turut hadir, Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim; Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. Pengumuman dividen Simpan SSPN 2023 turut dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim (dua, kiri); Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (tengah) dan dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. Menurut Zambry lagi, agihan dividen akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN dan pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan masing-masing mulai 6 April (Sabtu) melalui aplikasi myPTPTN. "Saya berharap dengan pemberian dividen kompetitif ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada Simpan SSPN sekali gus menyuburkan lagi amalan penabungan di negara ini. "Paling penting, misi penabungan ini akan membantu dalam mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian kelak," ujarnya. Dalam pada itu, PTPTN menerusi kenyataannya memaklumkan pemberian dividen yang lebih tinggi disokong oleh pulangan pelaburan yang positif dengan keuntungan pelaburan deposit bagi tahun 2023 berjumlah RM446.22 juta. Zambry berharap pemberian dividen akan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada Simpan SSPN. "Prestasi pelaburan terus meningkat pada tahun 2024 berdasarkan pencapaian suku pertama tahun 2024 yang lebih baik berbanding tempoh yang sama tahun 2023. "Peningkatan pemberian kadar dividen Simpan SSPN adalah bersesuaian dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate) Bank Negara Malaysia yang meningkat sebanyak 0.25 peratus pada tahun 2023. "Justeru, kadar dividen ini merupakan jumlah pulangan yang lebih menguntungkan dan menjadikan Simpan SSPN kekal berdaya saing dan relevan setanding produk-produk lain di pasaran," katanya. Tambahnya lagi, Simpan SSPN terus mencatatkan peningkatan akaun apabila sebanyak 513,002 akaun baharu direkodkan bagi tahun 2023 dengan deposit yang diterima berjumlah RM3.15 bilion. Prestasi ini ujarnya sekali gus menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN sebagai instrumen pendidikan terbaik untuk membuat simpanan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak. Apa yang menariknya, tidak sekadar menawarkan kadar dividen yang kompetitif, bahkan pelbagai keistimewaan lain turut ditawarkan kepada pendeposit. Antaranya, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang memberikan pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun. Selain itu, pendeposit turut menikmati perlindungan takaful, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000, simpanan yang dijamin kerajaan dan pastinya ia adalah instrumen patuh syariah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube