suria

Tragedi Syawal... Pelajar maut rempuh belakang treler parkir di bahu jalan

Mangsa maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang treler.

TRAGIS, seorang pelajar berusia 16 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh belakang sebuah treler di Kampung Kepong di Kuala Terengganu, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa, Muhammad Alauddin Shammunaha, yang turut dibonceng dua lagi individu.

"Kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave menghala ke tempat pembuangan sampah, manakala sebuah treler sedang parkir di bahu jalan berhadapan Loji Rawatan Air Kepong 1.

"Mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan dan melanggar bahagian belakang treler tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azli berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan

Tambah beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada 4 pagi, dan bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat kemalangan itu.

"Adik mangsa, Muhammad Adam Haiy, 14, cedera di tangan dan kaki, manakala sepupu mangsa, Muhammad Afi Haikal Abdul Malik, 16, turut cedera di kaki," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain