UMAT Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu, 10 April 2024. Pengumuman dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sekitar pukul 8 malam Selasa itu sekali gus menghilangkan debaran golongan perantau yang sudah pulang ke kampung halaman bagi meraikannya. "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Rabu, 10 April 2024," katanya menerusi siaran televisyen tempatan. Pengumuman tarikh Aidilfitri itu sekali gus menutup pelbagai spekulasi tentang tarikh sambutan 1 Syawal di Malaysia yang mulai kecoh selepas Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan perayaan tersebut jatuh pada Rabu, 10 April. Untuk rekod, Hari Raya Aidilfitri pernah disambut secara mengejut pada tahun 2022. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube