SUSPEK insiden tembakan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 berkata dia akan memberikan kerjasama kepada pihak polis. Bukan itu sahaja, Hafizul Hawari, 38, juga kelihatan tenang dan sempat memberi ucapan salam kepada petugas media yang membuat liputan di pekarangan Mahkamah Kota Bharu, Kelantan pada Selasa pagi. "Saya akan memberi kerjasama kepada pihak polis," ujarnya ringkas. Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu dibawa ke Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan iringan ketat anggota polis. Mahkamah Majistret Kota Bharu membenarkan Hafizul direman selama tujuh hari sehingga Isnin, 22 April. Perintah itu dikeluarkan Hakim Tuan Rais Imran Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki cuba tembak isteri di KLIA direman 7 hari Untuk rekod, suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan KLIA 1 pada Ahad lalu. Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian. Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di bahagian perut dan dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan ditidurkan akibat kecederaan terbabit. Suspek kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di hadapan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu pada pukul 3 petang Isnin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube