PENGAWAL peribadi yang mempertaruhkan nyawa sehingga ditembak demi menyelamatkan pemilik agensi pelancongan, Farah Md Isa selamat menjalani pembedahan. Isteri mangsa, Siti Noraida Hassan memaklumkan Muhammmad Nur Hadith atau senang disapa Along menjalani pembedahan di bahagian usus kira-kira pukul 11.30 pagi pada Selasa di Hospital Cyberjaya. "Pembedahan selesai pada pukul 4.30 petang tadi. Dia perlu menjalani pemantauan selama lima hingga enam hari. "Suami juga berkemungkinan perlu menjalani rawatan dialisis buat sementara waktu. Selain itu terdapat kecederaan pada bahagian limpa. "Keadaannya stabil ketika ini tapi dia masih belum sedarkan diri. Saya berharap semua dapat terus mendoakan kesembuhan buat suami," kata Siti Noraida Hassan. Muhammmad Nur Hadith dikejarkan ke Hospital Cyberjaya pada awal pagi Ahad (14 April) selepas dia ditembak pada bahagian perut di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1. Dua peluru ditembak, salah satunya terkena pada mangsa manakala lagi satu gagal mengenai sasaran iaitu Farah. Pihak polis menahan suspek berumur 38 tahun, Hafizul Haraw di Kota Bharu, Kelantan sekitar pukul 3 petang pada Isnin. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube