suria

Rupanya hafiz al-Quran... Lelaki tembak isteri pernah ikut pengajian pondok di Pasir Mas

Hafizul pernah mengikuti pengajian pondok di Kelantan.

SIASATAN awal ke atas Hafizul Hawari mendapati suspek merupakan seorang hafiz al-Quran.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek yang berusia 38 tahun itu pernah mengikut pengajian di sebuah pondok di Repek, Pasir Mas, Kelantan.

"Berkenaan dengan tindakan suspek ke Kelantan, dia lahir di Selangor, membesar di Kuala Lumpur tapi pernah belajar di pondok di sini," ujarnya sambil menambah ujian dilakukan pada Isnin mendapati suspek juga fasih berkaitan ayat al-Quran.

Shuhaily membuat pendedahan itu sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Selasa.

Menurut Shuhaily, isu peribadi dilihat menjadi motif utama kejadian pada Ahad, namun pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafizul cari 7 peguam pertahan diri kes tembak isteri di KLIA

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Selasa pagi memerintahkan tahanan reman tujuh hari ke atasnya sehingga Isnin, 22 April.

Dia direman bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Untuk rekod, suspek melepaskan tembakan ke arah isterinya Farah Md Isa atau Farah Cie di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, satu tembakan itu tersasar, manakala satu lagi tembakan mengenai pengawal peribadi isterinya yang berada di lokasi kejadian.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di hadapan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu pada pukul 3 petang Isnin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain