suria

Peniaga ketam hina Raja Perlis di Facebook ada kad OKU

Lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Raja Perlis

MAHKAMAH Sesyen Kangar, Perlis memerintahkan seorang lelaki yang membuat hantaran jelik di Facebook terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk dirujuk ke hospital bagi menilai tahap kesihatan mentalnya.

Hakim Musyiri Peet memerintahkan Hasbullah Mohammad, 41, untuk dihantar ke hospital psikiatri pada Selasa susulan permintaan daripada peguam tertuduh, Shazwan Shaidan.

Hakim juga menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh untuk mengemukakan laporan psikiatri tertuduh.

Menurut Shazwan, tertuduh mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) berkaitan ketidakupayaan mental dan sedang menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis dan ada kalanya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, Hasbullah yang juga merupakan seorang peniaga ketam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Hasbullah didakwa membuat penghantaran komunikasi jelik terhadap Raja Perlis menerusi akaun Facebook dengan nama Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ke Muhammad) pada 6 Mac kira-kira pukul 3.26 pagi.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Muhamad Asyraf Md Kamal. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain