suria

Mihas 2024 ke Dubai, langkah pertama kembang industri halal tempatan ke peringkat global

Mihas edisi ke-20 bakal melebarkan sayap ke peringkat global.

SELEPAS dua dekad penganjurannya, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) kini melangkah ke peringkat antarabangsa dengan menjadikan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai destinasi pertama.

Mihas edisi Dubai dijadual diadakan dari 18 hingga 20 November 2024.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sudah tiba masanya untuk Mihas menjelajah ke seluruh dunia dalam usaha memperluas industri halal tempatan.

IMG_20240418_125611

Reezal ketika berucap pada prapelancaran Mihas bagi tahun 2024.

"Pengantarabangsaan Mihas adalah satu inisiatif untuk membawa jenama ini kepada tahap yang lebih tinggi serta menarik pelbagai peserta dan pembeli terutamanya dari pasaran Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika.

"Dubai dipilih kerana mempunyai kelebihan termasuk lapangan terbangnya adalah antara yang paling banyak terhubung dengan negara lain.

"Boleh bayangkan ia dihubungkan terus dengan 13 hingga 14 lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) dan ini menjadi kekuatannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media prapelancaran Mihas 2024 di Kuala Lumpur, Khamis.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Hairil Yahri Yaacob.

IMG_20240418_124817

Pelancaran Mihas 2024 turut dihadiri Hairil Yahri (kiri) dan Mohd Mustafa (kanan).

Tambah Reezal, Mihas 2024 akan berlangsung dari 17 hingga 20 September 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec).

Katanya pameran tahun ini dijangka akan menarik lebih 40,000 pengunjung perdagangan dan menampilkan 2,000 gerai pameran dari 45 negara, termasuk Malaysia.

Bertemakan 'Mengglobalisasikan Inovasi Halal', Mihas 2024 akan diletakkan sebagai platform utama bagi syarikat Halal global untuk mempamerkan produk, perkhidmatan dan teknologi halal paling inovatif mereka melalui 14 kluster terpilih termasuk kluster kelestarian dan kandungan bahan halal.

Bagaimanapun beliau berkata, sasaran jualan pada tahun ini akan diumum dalam masa terdekat.

Mihas 2024 adalah selaras dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Halal 2030 (HIMP 2030).

Selain itu, edisi kali ini mendorong kepada inovasi yang lebih besar dalam ekosistem Halal global demi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi industri halal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain