suria

Gadis bawa motosikal tergolek atas jalan, cedera selepas diragut

Video tular memaparkan kejadian ragut di sebatang jalan raya.

SEORANG wanita cedera dalam kejadian ragut di Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Zarina di Klang, Selangor pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang warga tempatan berumur 20 tahun pada jam 4.34 petang hari sama.

“Hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang mendekati mangsa dari arah belakang dan menarik beg yang disilang pada badan mangsa.

“Akibat pergelutan itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikal ke atas jalan raya serta mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Hoong Fong, siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangan serta bahu kiri dan sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

“Siasatan lanjut mendapati, beg silang mangsa yang diragut oleh suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai sebanyak RM114.

“Motosikal mangsa mengalami kerosakan calar di bahagian coverset. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000,” katanya.

Menurut Hoong Fong, siasatan polis mendapati suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.

Polis sedang dalam usaha mengenal pasti suspek kejadian ini dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain