ANAK sulung kepada Komander Muhamad Amir Mohamad yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak menyifatkan bapanya seorang yang kurang bercakap tetapi sentiasa memenuhi keperluan anak-anaknya. Nuraina Farhana, 16, berkata, dia berada di dalam kelas apabila mengetahui tentang kematian bapanya. Nuraina, yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Kuala Kangsar memberitahu, dia menerima berita mengenai bapanya itu daripada gurunya ketika menghadiri kelas pastri di sekolah tersebut. "Saya jumpa ayah pada Ahad. Dia tidak banyak bercakap tetapi sentiasa memenuhi kehendak dan permintaan anak-anaknya. "Kenangan ayah bawa saya bermain futsal ketika saya kecil akan diingati sampai bila-bila," katanya kepada pemberita di luar Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, pada Selasa. ARTIKEL BERKAITAN: “Peluang ini mungkin takkan datang lagi” - Anak kembar teringat kata-kata ibu sebelum rakam foto raya, arwah paling teruja ARTIKEL BERKAITAN: Wajah Along tenang seperti tidur... Bapa Allahyarham Shahrizan reda, dua kali buat pengecaman Tambah Nuraina, bapanya dijangka dikebumikan di Sitiawan pada Rabu sebaik proses bedah siasat selesai. Muhammad Amir yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 502, meninggalkan balu , Marliati Basri, 40, dan tiga anak. Dua lagi anak berusia 13 dan empat tahun. Allahyarham merupakan antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung di udara dan terhempas di Pengkalan TLDM Lumut, Perak pada pagi Selasa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube