suria

Keadaan Faisal Halim tidak begitu baik, dalam pemerhatian doktor

Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada Ahad.

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim dilaporkan berada dalam keadaan tidak begitu baik, selepas menjalani pembedahan pertama di sebuah hospital di Shah Alam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, Faisal kini sedang dalam pemerhatian doktor selepas pembedahan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut dan sedang menantikan perkembangan terkini keadaan pemain kebangsaan berusia 26 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes simbah asid Faisal Halim direman 2 hari

"Dia telah menjalani pembedahan pertama, tetapi saya boleh katakan keadaan dia tidak berapa baik.

"Sukar untuk saya ceritakan dan ketika ini dia sedang dalam pemerhatian doktor," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Media pada Ahad melaporkan Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Dia disahkan mengalami lecur tahap dua di beberapa bahagian badan.

Seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan berjaya diberkas dan kini direman selama dua hari untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, suspek dikesan berdasarkan nombor pendaftaran motosikal yang dikenal pasti semasa serangan itu.

Beliau dalam pada itu turut menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain