suria

Pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, hempap kenderaan dan landasan monorel

Sebatang pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail pada petang Selasa. -Foto media sosial

BEBERAPA kenderaan dihempap sebatang pokok yang tumbang, dipercayai berhampiran Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, sekitar pukul 3 petang, Selasa.

Video serta gambar mengenai kejadian turut tular di laman sosial.

Selain beberapa kenderaan, pohon daripada pokok berkenaan dilaporkan turut menghempap landasan monorel.

Menerusi salah satu klip yang dikongsikan, detik-detik sebelum pokok besar itu mulai condong sebelum tumbang dan menghempap beberapa kenderaan yang sedang lalu di jalan berkenaan berjaya dirakam oleh kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan.

pic

Jalan di kedua-dua hala terjejas akibat insiden berkenaan. -Foto media sosial

"Allahuakbar... Allahuakbar," kedengaran suara pemilik kenderaan sebaik sahaja pokok tersebut tumbang merintangi jalan.

Kejadian berlaku ketika hujan lebat dengan kenderaan bergerak agak perlahan kerana trafik sedikit sesak.

Beberapa video lain memaparkan keadaan kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap, selain orang awam yang berada di lokasi kejadian bertungkus lumus menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Sehingga kini belum ada maklumat lanjut mengenai jumlah mangsa serta kenderaan yang terjejas.

Menerusi ciapan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di laman X, laluan kedua-dua hala di lokasi kejadian ditutup sementara.

Sementara itu, dilaporkan juga perkhidmatan Monorel mengalami kelewatan antara stesen Bukit Nenas dan Raja Chulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain