SEBUAH kereta model Honda Jazz remuk teruk dihimpit sebuah lori tangki yang terbabas, didakwa kerana mengalami masalah brek. Menerusi perkongsian pemilik video @shaz_hartanah di laman TikTok, kejadian berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala arah Kuala Lumpur, berhampiran Genting Sempah, pada petang Sabtu. Dia yang berada di lokasi kejadian sempat bertanya kepada seorang lelaki, dipercayai pemandu lori tangki berkenaan sejurus kejadian berlaku. "Accident dekat Genting Sempah ni... baru berlaku. Lori tak ada brek ya abang? Ohh brek habis katanya. "Alhamdulillah tak ada sesiapa yang injured cuma sebuah kereta rosak... kereta Honda," kedengaran suaranya di dalam video berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Treler terbabas sebelum rempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang Kelihatan kereta Honda yang terlibat dalam nahas itu remuk teruk pada bahagian hadapan dan tempat duduk penumpang sebelah kiri, gara-gara terhimpit antara pembahagi jalan konkrit dengan lori tangki. Difahamkan, nahas terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa. Cermin belakang kereta turut pecah gara-gara nahas berkenaan. "Abang ni (pemandu Honda) dengan isteri dan anaknya Alhamdulillah selamat," katanya lagi. Menurut pemilik video tersebut, dia dan beberapa rakan sedang berkonvoi pulang ke Kuala Lumpur dan berada di bahagian belakang lori tangki berkenaan sebelum kejadian. "Lori ni betul-betul depan kami... Nasib baik tak sauk kami sekali," ujarnya dalam ruangan komen. Sehingga kini, video berkenaan meraih lebih 151,000 jumlah tontonan. Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mana-mana pemandu lori yang didapati cuai sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan, agar kejadian seumpamanya tidak berulang. "Tak servis ke lori tu? Check la dulu. "Itulah kelemahan lori... masalah brek. "Senangnya cakap brek habis. Nyawa orang atas jalan tu bahaya. Siapa yang nak ganti kereta tu? Mujur tiada yang arwah," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube