UMAT Islam di negara ini diingatkan supaya lebih berwaspada dengan sebarang tawaran pakej haji oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah. Tegas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, pemberian visa haji selain melalui kuota rasmi Malaysia adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi. "Kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah saja. "Manakala visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. Ujarnya, wujud segelinitr pihak yang membuat 'tawaran' seumpamanya setiap kali tibanya musim haji. ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati bakal haji, jangan tertipu lagi... Ini senarai 22 agensi pelancongan dapat lesen Pengelola Jemaah Haji "Oleh itu, penting untuk orang ramai memeriksa dengan teliti terlebih dulu setiap tawaran yang diberikan termasuklah jenis visa yang digunakan", katanya. Syed Hamadah menambah, Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bertujuan untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah haji yang datang dari seluruh dunia. "Kerajaan Arab Saudi akan melaksanakan kawalan keselamatan lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji lebih efisyen bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair. "Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000," katanya. Justeru, bakal jemaah haji dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 buah syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M. Tambahnya, mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube