suria

Pengurus syarikat putih mata wang simpanan lebih RM400,000 lesap

Seorang pengurus syarikat menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian. -Gambar hiasan

SEORANG pengurus syarikat berusia 51 tahun mengalami kerugian lebih RM400,000 selepas dia terpedaya untuk melabur dalam skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa membuat laporan apabila menyedari dirinya telah ditipu.

"Masalahnya bermula selepas mangsa mula berurusan dengan sekumpulan individu yang tidak dikenali menerusi WhatsApp.

"Mangsa kemudian digalakkan untuk melabur dalam skim pelaburan dan dia membuat pindahan wang secara dalam talian melalui 19 transaksi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Hatta berkata, mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang diberikan, berjumlah RM401,075 antara 21 Mac dan 12 Mei.

Menurut beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohamad Hatta menasihatkan orang ramai mendapatkan pengesahan dengan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk melabur skim pelaburan dalam talian.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya kepada pihak yang menawarkan pelaburan secara atas talian dengan keuntungan yang tinggi.

"Segera buat semakan dengan polis bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. Orang ramai juga menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain