suria

Rakan kongsi bisnes hantar saman, tuntut Danny bayar 100k! Dakwa difitnah, dihina kata-kata lucah di TikTok

Danny (kiri) didakwa mengaibkan rakan kongsi perniagaannya, Norsyafiqah dengan kata-kata kesat melalui media sosial.

USAHAWAN yang dikenali sebagai Danny pernah menjadi perhatian masyarakat pada tahun lalu gara-gara perkahwinannya bersama seorang wanita berimej lelaki atau tomboi berakhir dengan penceraian selepas dua minggu diijabkabulkan.

Kini pemuda berwatakan lembut yang juga pemilik salun itu sekali lagi terpalit dengan kontroversi apabila dia berkemungkinan berdepan tuntutan saman RM2 juta selepas didakwa mengaibkan serta menjatuhkan maruah rakan kongsi perniagaannya, Norsyafiqah Muhamad Azwar ketika melakukan siaran langsung di akaun TikTok.

Menurut peguam Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi yang mewakili Norsyafiqah, notis tuntutan sudah dihantar kepada Danny, atau nama sebenarnya Adam Hamil pada 15 Mei (Rabu) secara serahan tangan.

peguam danny

Siti Hajar Aisyah Mohd Pozi, peguam yang mewakili anak guam, Norsyafiqah Muhamad Azwar.

"Anak guam saya adalah kenalan Danny di mana mereka sebelum ini pernah berniaga pakaian raya bersama-sama menerusi siaran langsung.

"Namun berlaku perselisihan faham dan anak guam saya tidak lagi berniaga bersamanya.

"Danny kemudian berterusan mengeluarkan kata-kata yang mengaibkan, menghina, berbaur lucah serta menjatuhkan maruah anak guam saya dalam siaran langsung akaun TikTok miliknya," kata Siti Hajar kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Danny nafi bercerai sebab kembali hidup sebagai mak nyah, mahu terus jadi lelaki sejati - “Mungkin ada kelemahan saya sebagai suami”

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh bekas mak nyah, pengkid tak tahan lama... Danny cerai Yan lepas 2 minggu nikah

Ujar Siti Hajar Aisyah, notis yang dihantar kepada pemuda tersebut mengandungi enam tuntutan iaitu membayar anak guamnya RM100,000 sebagai ganti rugi terhadap kerosakan reputasi dan nama baik; memadam kesemua posting berkaitan anak guamnya dengan kadar segera tanpa sebarang syarat; permohonan maaf secara bertulis serta permohonan maaf secara siaran langsung di akaun Tiktok.

Sekiranya gagal memenuhi tuntutan kami dalam tempoh yang diberikan, kami diarahkan untuk menyaman beliau dengan ganti rugi RM2 juta.

SITI HAJAR AISYAH

PEGUAM

Dua tuntutan lain ialah pemuda itu atau ejen-ejennya secara serta-merta dilarang untuk membuat sebarang hantaran berkaitan anak guamnya di mana-mana media sosial; dan beraku janji tidak akan menyebarkan fitnah serta kata hinaan terhadap anak guam serta keluarganya.

"Dia diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan notis (15 Mei 2024) dan sekiranya gagal memenuhi tuntutan kami dalam tempoh yang diberikan, kami diarahkan untuk menyaman (malu/ fitnah) dengan ganti rugi RM2 juta," katanya lagi.

Dalam pada itu menurut Siti Hajar, anak guamnya turut membuat laporan polis terhadap Danny kerana secara sengaja berniat jahat menerbitkan kata-kata yang memfitnah, mengaibkan, menghina, berbaur lucah serta menjatuhkan maruahnya.

danny 1

Danny mencuri tumpuan masyarakat pada tahun lalu kerana kisah perkahwinannya dengan seorang tomboi. - Gambar fail.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Untuk rekod, mStar pada Ogos tahun lalu pernah melaporkan perkahwinan Danny dengan pasangannya, Nurazearah Fateha yang menjadi tumpuan ramai gara-gara status mereka sebagai bekas mak nyah dan pengkid.

Pasangan berkenaan selamat diijabkabul pada 15 Julai tahun lalu di Ulu Remis, Kluang, Johor, selepas lima hari mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun jodoh pasangan kontroversi itu hanya bertahan selama dua minggu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain