suria

Jenazah Ahmad Azza Fahmi selamat dikebumikan, 500 orang hadir beri penghormatan terakhir

Jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar selamat dikebumikan pada pukul 7.20 malam Sabtu. -Foto Bernama

KIRA-KIRA 500 orang mengiringi upacara pengebumian jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, salah seorang anggota polis yang maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada Jumaat lalu.

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor, pada pukul 7.20 malam Sabtu mengikut istiadat pengebumian Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Turut hadir memberi penghormatan terakhir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Terdahulu, jenazah yang selesai dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru itu dibawa ke Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk solat jenazah.

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota terkorban baru 2 tahun berkhidmat dalam PDRM

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq selamat dikebumikan di kampung halaman

Jenazah kemudian dibawa ke Perak pada pukul 11.50 pagi dan tiba di kediaman keluarganya di Kampung Poh Tambahan, Bidor pada pukul 5.55 petang.

Jenazah disembahyangkan sekali lagi secara bergilir-gilir dipimpin oleh bapa, pegawai polis dan orang kampung sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira satu kilometer.

Media pada Jumaat melaporkan dua anggota polis yang bertugas di Balai Polis Ulu Tiram maut setelah diserang seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap bersenjatakan parang.

Dalam insiden yang berlaku pada pukul 2.54 pagi Jumaat itu, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi ditetak di bahagian belakang leher dan kepala, manakala seorang lagi anggota, Allhayarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, dilaporkan ditembak di muka.

Seorang lagi anggota, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera di bahagian bahu dan perut akibat ditembak kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain