suria

Serangan Balai Polis: 7 individu termasuk seorang warga Singapura direman seminggu

Seramai tujuh individu direman selama tujuh hari bermula Sabtu.

SERAMAI tujuh individu, termasuk seorang warga Singapura yang dikaitkan dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor direman selama tujuh hari.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin bermula Sabtu sehingga Jumaat (24 Mei) di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang.

Perintah reman itu dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kesemua suspek diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Zahier Rosli, Bustaman Menon Abdul Hamid Menon dan Sulaiman Zamani, kecuali warga Singapura itu.

Difahamkan, reman itu dikeluarkan di ibu pejabat polis daerah (tempat suspek kini ditahan) dan bukannya di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas faktor keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata darah tak boleh ubah takdir, bapa reda anak meninggal sebagai wira negara... Kakak mohon ampunkan arwah

Dalam kejadian 2.45 pagi Jumaat, dua anggota polis — Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, — terbunuh manakala seorang lagi cedera selepas mereka diserang penceroboh di Balai Polis Ulu Tiram.

Seorang lagi polis, Koperal Mohd Hasif Roslan, cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail.

Penceroboh bertopeng dipercayai anggota Jemaah Islamiah (JI) itu ditembak mati di lokasi.

Lima daripada tujuh individu yang ditahan di rumah suspek adalah ahli keluarganya yang berusia antara 19 dan 62 tahun, manakala dua lagi pelajar institusi pengajian tinggi yang dipercayai ada kaitan dengan kejadian itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain