YANG pergi tetap pergi, yang ada teruskan kehidupan. Demikian kata Azhar Khaiden, tentang kematian anaknya, Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi, 22, yang maut dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor. Menurut guru berusia 54 tahun itu, kematian merupakan lumrah kehidupan setiap manusia dan dia menerima takdir Allah dengan hati yang lapang. "Tuhan pun sebut... Bila tiba ajal ke atas seseorang kamu nescaya tidak diperlengahkan walau sesaat. "Terima je la. Ini adalah kenyataan, hidup dan kehidupan. Kita semua hidup dan kehidupan kita ditentukan oleh-Nya. Azhar berkata kematian merupakan lumrah kehidupan setiap manusia. "Kalau kita menangis air mata darah sekali pun, yang pergi tetap pergi. Yang ada teruskan kehidupan. Semua kita semua milik Allah," ujarnya. Azhar berkata demikian ketika ditemui media di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) pada Jumaat. Dalam pada itu, kakak kepada Allahyarham Konstabel Ahmad Azza memaklumkan jenazah adiknya akan dibawa pulang ke kediaman keluarga pada Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota terkorban baru 2 tahun berkhidmat dalam PDRM "Assalamualaikum. Jenazah adik saya Azza Fahmi akan dibawa pulan ke kediaman keluarga pada pagi 18 Mei dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Poh, Bidor, Perak. "Masa (jenazah) tiba akan saya maklumkan. Mohon sedekahkan al-Fatihah untuk adik saya ya. Ampunkan salah silap arwah," ujarnya menerusi akaun Instagram Azzaassyariena. Untuk rekod, dua anggota polis maut selepas diserang oleh seorang lelaki pada awal pagi Jumaat. Allahyarham baru memulakan tugas kira-kira dua tahun lalu. Mangsa dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza meninggal dunia kerana ditetak di bahagian belakang leher dan kepala. Seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel, Muhamad Syafiq Ahmad maut kerana ditembak di bahagian perut dan lengan. Sementara itu, seorang lagi mangsa, berpangkat koperal yang ditembak suspek kini dilaporkan berada di zon merah di HSI. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek berusia 34 tahun yang ditembak mati itu merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube