suria

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota terkorban baru 2 tahun berkhidmat dalam PDRM

Dua anggota yang terkorban baru sahaja berkhidmat dalam PDRM. -FB PDRM

DUA anggota polis yang terkorban diserang di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada pagi Jumaat baru memulakan tugas kira-kira dua tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada petang Jumaat.

"Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun.

"Didoakan agar kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh," ujar kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, seluruh warga PDRM turut menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes serang Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek, 2 pelajar ditahan

Terdahulu, mStar melaporkan dua anggota polis maut selepas diserang oleh seorang lelaki pada awal pagi Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Konstabel Ahmad Azza meninggal dunia kerana ditetak di bahagian belakang leher dan kepala.

Seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel, Muhamad Syafiq Ahmad maut kerana ditembak di bahagian perut dan lengan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, berpangkat koperal yang ditembak suspek kini dilaporkan berada di zon merah di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek berusia 34 tahun yang ditembak mati itu merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain