suria

"Semua kes ini tiada kaitan dengan bola sepak" - Tunku Ismail

Tunku Ismail mengajak orang ramai bersolidariti untuk menghentikan keganasan dalam bola sepak. -Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor.

INSIDEN serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram pada pagi Jumaat turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyatakan ia tiada kaitan dengan bola sepak.

Menerusi hantaran di Instagram Story, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ini menyeru semua pihak bersatu menentang keganasan, dengan menyebut rentetan insiden jenayah dan kemalangan yang berlaku di Malaysia sejak kebelakangan ini.

"Akhyar (Rashid) kena samun, Faisal (Halim) kena (simbah) asid, Safiq (Rahim) kereta kena pecah, Siti Nurul Masyitah (atlet kayak) kena langgar kereta, semalam seorang lelaki dari Bagan Serai Perak ditangkap dan jumpa bom di rumah, semalam Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng, dan dua anggota polis ditembak.

tmj1

Tangkap layar perkongsian Tunku Ismail di Instagram.

"Semua ini kerja Tunku Mahkota Johor (TMJ), FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), polis dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia).

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 2 anggota terkorban baru 2 tahun berkhidmat dalam PDRM

"Semua kes ini tiada kaitan dengan bola sepak, berlaku di luar kawasan stadium dan luar kawasan bola sepak. Tetapi mari kita beramai-ramai buat solidariti stop violence in football," tulisnya sambil menyertakan tanda pagar #InisemuasalahTMJ.

Tanda pagar #InisemuasalahTMJ dipercayai digunakan sebagai sindiran terhadap pihak tertentu yang mengaitkan dirinya dengan insiden yang melanda negara ketika ini terutama membabitkan beberapa pemain bola sepak.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram.

“Al-Fatihah buat dua wira negara yang terkorban dalam tragedi ini. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, mStar melaporkan dua anggota polis maut selepas diserang oleh seorang lelaki pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan suspek berusia 34 tahun yang ditembak mati itu merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain