suria

Kes serang Balai Polis Ulu Tiram: 5 ahli keluarga suspek, 2 pelajar ditahan

Penahanan lima ahli keluarga suspek itu dimaklumkan oleh Razarudin pada Jumaat.

LIMA ahli keluarga suspek ditahan susulan kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi Jumaat yang mengorbankan dua anggota.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Jumaat.

Razarudin yang ditemui ketika meninjau lokasi kejadian turut memaklumkan suspek berusia 34 tahun yang ditembak mati itu merupakan ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Katanya, polis menyerbu rumah suspek dan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI dan menangkap lima ahli keluarganya di kediaman tersebut.

“Kesemua lima ahli keluarga suspek yang dipercayai anggota serpihan JI ditahan untuk siasatan lanjut. Mereka berusia antara 15 tahun hingga 62 tahun

“Rumah suspek turut mempunyai beberapa info berkenaan kumpulan JI selain banyak ayat al-Quran yang ditampal di dinding,” katanya pada sidang media..

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar balai polis diserang lelaki bertopeng! Dua anggota maut, seorang mangsa di zon merah hospital

Sebelum kejadian, dua orang awam iaitu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) datang ke balai untuk mendapatkan pandangan mengenai kes cabul dua tahun lalu.

“Apabila lelaki dan wanita usia 21 dan 22 tahun sedang buat laporan, suspek masuk dengan motosikal dan parkir di belakang. Anggota yang periksa telah ditetak.

“Dua pengadu yang datang itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana agak janggal mereka datang pada pukul 2 pagi untuk hanya mendapatkan pandangan kes cabul dua tahun lepas,” katanya.

Susulan kejadian, kira-kira 20 anggota JI sudah dikenal pasti polis dan tindakan susulan sedang dilakukan dalam kadar segera.

Terdahulu, dalam kejadian awal pagi Jumaat, dua anggota polis berpangkat konstablel dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera selepas diserang suspek yang bertopeng dan berpakaian gelap.

Suspek bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan lalu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata iaitu sepucuk pistol jenis Walther P99 dan selaras HK MP5.

Sementara itu, mangsa yang berpangkat koperal yang ditembak suspek kini dilaporkan berada di zon merah di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain