suria

Bantuan RM200 sebulan, pemilik kenderaan diesel boleh mohon Budi Madani bermula Selasa

Permohonan Budi Madani boleh dibuat mulai Selasa. -Gambar hiasan

PEMILIK kenderaan diesel persendirian termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi yang layak bakal menerima bantuan bulanan berjumlah RM200 menerusi Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani.

Permohonan Budi Madani boleh dibuat mulai Selasa, 28 Mei menerusi laman sesawang, menurut Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Kementerian Kewangan berkata subsidi itu tersedia kepada mana-mana warganegara Malaysia yang berpendapatan tahunan RM100,000 atau kurang, yang memiliki kenderaan diesel persendirian di bawah umur 10 tahun.

Selain itu, kenderaan mereka mesti berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan mempunyai cukai jalan yang aktif.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum penyasaran subsidi diesel, kerajaan jimat RM4 bilion setahun

"Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web yang akan dibuka sepanjang tahun. Bagi permohonan yang dibuat sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madadi pertama mereka menjelang pertengahan Jun dan bantuan disalurkan secara bulanan.

"Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan," ujar kenyataan itu sambil menambah ia akan dikreditkan ke akaun bank penerima.

Bagi pemohon yang tidak mempunyai akaun bank, bantuan Budi Madani boleh dituntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh semenanjung Malaysia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain