suria

Ibu muda maut bersama anak 2 tahun... Motosikal rempuh lori balak parkir di bahu jalan

Dua beranak itu maut dalam kejadian melibatkan motosikal merempuh lori.

DUA beranak maut apabila motosikal ditunggang mereka merempuh lori membawa muatan balak yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 21 Jalan Kuala Terengganu menghala Kuala Berang dekat Kampung Durian Guling, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Razman Setapa berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada pukul 2.25 pagi membabitkan mangsa wanita berusia 22 tahun dan anaknya berusia dua tahun.

Difahamkan kedua-dua mangsa yang datang dari arah Kampung Gondang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Bukit Bading, Ajil.

"Lori itu diparkir di bahu kiri jalan. Mangsa disyaki merempuh belakang lori berkenaan di sebelah kanan," katanya.

Tambahnya lagi, kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat dihantar ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya lagi.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk menghubungi Inspektor Nik Nur Farhanim Nik Mohamed Fauzi di talian 010-2840273 atau 09-6182222.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain