suria

Ahli perniagaan berputih mata, rugi lebih RM179,000... Terpedaya jualan motosikal murah di Facebook

Polis sentiasa bertindak atas maklumat awam.

GARA-GARA terpedaya iklan jualan motosikal jenis Honda 110 cc yang murah bersama nombor pendaftaran pilihan di laman Facebook, seorang ahli perniagaan kerugian lebih RM179,000.

Ia berikutan mangsa tidak menerima tujuh buah motosikal yang dibeli selepas melakukan tujuh transaksi berkaitan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che Din berkata, mangsa yang berusia 49 tahun kemudian membuat laporan polis pada Jumaat.

"Mangsa dipercayai berurusan melalui aplikasi WhatsApp dengan individu yang tidak dikenali dan membuat tujuh kali pembayaran secara dalam talian bermula 24 hingga 28 Mei lalu.

"Dia bagaimanapun tidak menerima motosikal dan nombor pendaftaran pilihan seperti yang dijanjikan sebelum menyedari ditipu serta membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya pihak yang menawarkan penjualan barangan secara dalam talian pada harga rendah.

"Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain