suria

Pengarah urusan kerugian RM520,000, terpedaya individu menyamar anggota polis

Mangsa terpedaya selepas dimaklumkan tentang nombor MyKad dan nama penuh. -Gambar hiasan

SEORANG pengarah urusan berusia 46 tahun kerugian RM520,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota polis.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, mangsa membuat laporan pada Ahad selepas menyedari dia ditipu.

Katanya, mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada awal Mei lalu yang memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dari bahagian utara Malaysia.

“Individu itu kemudian mendakwa menemui kad ATM mangsa dalam satu serbuan mereka dan mendakwa mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram.

“Panggilan itu kemudiannya dipindahkan kepada seorang lagi individu yang mengaku sebagai inspektor polis bernama Lee Kha Seng; yang ini cuba ‘menawarkan bantuan’ kepada mangsa supaya akaun banknya tidak dibekukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kumar menambah, mangsa diminta memindahkan wangnya ke akaun bank lain untuk membantu siasatan.

Tambahnya, mangsa percaya panggilan itu adalah sah kerana nama dan nombor kad pengenalannya dipetik dengan betul oleh penipu.

"Dia juga telah diberikan surat melalui WhatsApp yang mempunyai kepala surat mahkamah yang menyatakan bahawa semua aset mangsa akan dirampas.

“Mangsa kemudian bersetuju untuk membuat pemindahan wang dan melakukan transaksi RM520,000 kepada individu terbabit.

"Bagaimanapun, mangsa masih didesak untuk melakukan lebih banyak transaksi walaupun telah memberikan sejumlah besar; pada masa ini barulah dia menyedari telah ditipu,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Kumar mengingatkan orang ramai yang telah menjadi mangsa penipuan untuk menghubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional di 997 bagi menghentikan sebarang pemindahan kewangan daripada akaun bank suspek.

“Mereka juga boleh mengikuti akaun media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) supaya sedar taktik yang digunakan oleh penipu untuk memperdaya mangsa.

“Kami juga ingin menggesa orang ramai menggunakan laman web ‘Semak Mule’ dan memuat turun aplikasi Whoscall bagi mengurangkan risiko ditipu,” tambahnya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain