SELEPAS ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan reman, kini pengasuh serta dua ahli keluarganya pula dipanggil membantu siasatan. Auni Afiqah Abas, 28 tahun, dilihat memasuki perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Selangor sekitar pukul 11.26 pagi Isnin dengan menaiki Perodua Alza putih. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan perkara tersebut sambil menambah beberapa saksi lain juga mungkin akan dipanggil sekiranya ada keperluan untuk membantu siasatan. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa Zayn Rayyan direman 7 hari Jumaat lalu, ibu bapa Zayn ditahan di sekitar Puncak Alam pada pukul 10.05 pagi oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Kedua-duanya direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Petaling Jaya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Pada Ahad, Omar Khan menyatakan pihaknya merampas telefon bimbit ibu dan bapa mangsa bagi membantu siasatan. 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada pukul 10 malam. Mayat mangsa ditemui sekumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya. Polis mengesahkan Zayn dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat yang menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube