suria

3 lelaki pecah masuk stesen minyak, lastik pintu kaca sebelum rompak

Insiden pecah masuk di stesen minyak sekitar Pekan Sook, Keningau, Sabah.

TIGA lelaki bertindak memecahkan dinding kaca sebuah stesen minyak sebelum melarikan wang tunai dan rokok dalam kejadian di Keningau, Sabah, awal pagi Isnin.

Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam di Pekan Sook ketika stesen minyak itu sudah ditutup dan dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata pengurus stesen memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis pada pagi harinya.

Berdasarkan rakaman CCTV, kelihatan tiga suspek tiba dengan menaiki sebuah kereta.

"Suspek diperhatikan memakai jaket, berseluar panjang dan sarung tangan serta pelitup muka.

"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan adalah palsu dan didaftarkan atas kenderaan lain.," kata Yampil ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Yampil, suspek menggunakan lastik dan kuku kambing ketika merompak.

"Salah seorang suspek melastik pintu kaca hadapan kedai sehingga pecah sebelum dua suspek masuk ke dalam kedai untuk mencuri.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk premis,” ujarnya.

Difahamkan, akibat kejadian berkenaan, stesen minyak itu mengalami kerugian lebih RM4,500 melibatkan kehilangan wang tunai, rokok jualan dan telefon bimbit. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain