SEORANG pensyarah universiti awam antara empat lelaki yang ditahan selepas didapati membawa air ketum di dalam trak pikap ketika pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Batu 6, Jalan Raya Timur-Barat, Batu Melintang, Kelantan pada 2 Jun. Penahanan pensyarah berusia 38 tahun itu dibuat kira-kira pukul 10.30 malam dalam Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu yang dijalankan bermula 26 Mei hingga Sabtu lalu. Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata trak pikap jenis Toyota Hilux yang dinaiki keempat-empat lelaki itu ditahan semasa tiba di SJR yang dilakukan. “Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai empat botol plastik berisi air ketum sebanyak 0.95 liter. “Ujian saringan air kencing ke atas tiga lelaki itu positif dadah jenis benzo manakala pensyarah itu negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Selasa. Dalam pada itu, dua lelaki penjawat awam yang masing-masing berusia berusia 27 dan 35 tahun ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu pada 4 dan 7 Jun lalu. Menurut Muhamad Zaki, suspek berumur 27 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine ditahan di sekitar Kota Bharu pada pukul 2.35 pagi. “Seorang lagi penjawat awam berusia 35 tahun dicekup di sebuah rumah di Taman Wangi, Gua Musang, pukul 5 petang pada 7 Jun lalu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses air ketum,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube