suria

Remaja, bayi umur 2 tahun maut makan makanan mak ayah ‘tapau’ dari program di sekolah

Kebersihan ketika memasak perlu diutamakan bagi mengelakkan keracunan makanan. -Gambar hiasan

SEORANG budak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut, dipercayai mengalami keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah di Gombak, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu pada Isnin.

"Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu.

"Pukul 1.30 tengah hari pada Isnin mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan Selasa.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua adalah bayi perempuan berusia dua tahun, anak kepada seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

"Pukul 10.45 pagi Isnin, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut," katanya.

Kata Ariffin, siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901, atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad 0142389151.

Terdahulu, di laman X, seorang wanita dipercayai kakak remaja memberitahu bahawa adiknya termakan dua biji telur goreng

Dia yang berusia 24 dan adik perempuannya turut makan bihun daripada satu program di sekolah sama tetapi tidak mengalami sakit perut atau cirit birit.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Menurutnya, sekolah rendah agama di Sungai Chinchin, Gombak, Selangor tersebut menganjurkan Program Amal Islami sebagai tuan rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Albertine hilang ditemukan selamat