TIGA remaja lelaki mendakwa mereka dilarikan sekumpulan pemuda dari sebuah pasar raya di Johor Bahru sebelum dipukul serta dirakam gambar bogel dalam satu kejadian pada Sabtu. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang dalam lingkungan umur 14 tahun sekitar pukul 6.45 pagi, Ahad. "Mangsa mendakwa didatangi 10 lelaki termasuk seorang dikenali dan dilarikan dengan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan. "Suspek memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian tersebut terbongkar. "Suspek kemudiannya melarikan diri bersama barangan peribadi milik mangsa dan meninggalkan mangsa di lokasi yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Mangsa berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan seterusnya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan. Tambahnya, mangsa kemudian hadir ke balai polis untuk membuat laporan. Bertindak atas maklumat, polis menahan empat lelaki warga tempatan termasuk tiga juvana berusia antara 15 hingga 20 tahun di kawasan Skudai, Johor pada pukul 8 malam, Ahad. "Turut dirampas kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian, polis turut menemukan semula barangan milik mangsa. "Keempat-empat suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis untuk membantu siasatan termasuk mengenal pasti motif. "Manakala usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata. Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube