suria

Makin berani! Kumpulan bersenjata, bertopeng rompak kedai emas di pusat beli-belah

Tangkap layar video kejadian rompakan di sebuah kedai emas.

SEBUAH kedai emas dirompak sekelip mata oleh kumpulan bersenjata dalam satu kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kajang, Selangor pada Isnin.

Empat lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak sebuah kedai emas berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.17 petang itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman.

Beliau berkata, suspek telah masuk ke premis sebuah kedai emas di tingkat satu bangunan tersebut dan terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.

Tambahnya lagi, sebelum suspek melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan, mereka turut melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis.

"Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan selaras senapang serta melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohamad Nasir berkata, jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

Jelas beliau, pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) dalam bangunan tersebut, selain mendapatkan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat). Jika sabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768 atau tampil ke balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular video yang merakamkan kejadian rompakan di sebuah kedai emas di pusat beli-belah dan kelihatan orang awam lari menyelamatkan diri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain