KETUA Pemuda Pas DUN Telemong, Kuala Terengganu cedera pada bahagian betis kanan akibat terkena pisau sembelihan ketika melakukan ibadah korban di Kampung Matang pada Isnin. Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, lembu korban yang kedua itu tiba-tiba meronta sehingga menyebabkan pisau yang dipegang Mohamad Yusuf Abdullah, 34, tersasar ke betisnya. Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Telemong, Mohd Safari Abu berkata berikutan kejadian itu, Mohamad Yusuf, dibawa ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun Mohamad Yusof dibawa pula ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi menerima rawatan lanjut. "Saya turut berada di lokasi kejadian, insiden tidak terduga itu berlaku dengan begitu pantas berikutan haiwan sembelihan tersebut secara mengejut meronta. "Lembu pertama disembelih dengan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku, namun lembu kedua tiba-tiba meronta-ronta," katanya Sebelum ini sudah menjadi rutin Mohamad Yusuf setiap kali Aidiladha untuk dijemput menyembelih ternakan korban di beberapa kampung di dalam Dun Telemong . "Cuma kali ini berlaku kejadian yang di luar kekuasaan kami semua. “Ibadah korban bagaimanapun diteruskan dengan lebih berhati-hati dan tiada sebarang insiden berlaku hingga program tamat,” ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube