suria

4 suspek pecah rumah Kieda bakal didakwa! Polis lengkap kertas siasatan, dapatkan semula resit pajak gadai RM400,000

Empat suspek kes rompak kediaman Kieda bakal didakwa di mahkamah.

PEMPENGARUH dan usahawan, Siti Nur Khalieda Yusra atau Kieda Crepe pastinya dapat menarik nafas lega apabila empat suspek dalam insiden rompakan di kediamannya pada April lalu, bakal didakwa tidak lama lagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, polis telah melengkapkan siasatan ke atas empat individu yang ditahan berhubung kes pecah rumah dan melarikan barang kemas dari kediaman Kieda.

"Siasatan kes itu sudah selesai dan kes dalam peringkat untuk didakwa di mahkamah bagi tindakan seterusnya.

"Secara keseluruhan, polis merampas pelbagai barangan kemas dan emas bernilai RM100,000 daripada mereka serta mendapatkan semula resit pajak gadai bernilai RM400,000 daripada suspek-suspek yang sudah jual barang kemas dan emas yang dicuri di rumah wanita itu," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Emas nilai hampir RM1 juta lesap, Kieda yakin ‘kerja’ orang sekitar! Simpan di rumah untuk ‘sumber kekuatan’

Menurut Hamzah, polis juga percaya kes pecah rumah Kieda dapat diselesaikan selepas tertangkapnya kesemua suspek pada 6 Jun lalu.

Jelas beliau, empat suspek yang ditahan terdiri daripada dua pasangan suami isteri berusia 20 hingga 27 tahun.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam laporan mStar pada 3 Jun lalu, Kieda mendedahkan kediamannya dipecah masuk sehingga dia mengalami kerugian mencecah RM800,000.

Kieda mendedahkan, dia kehilangan barang kemas yang mempunyai nilai sentimental serta sejumlah wang tunai.

Untuk rekod, Kieda merupakan usahawan makanan terkenal yang menjual pelbagai aneka pencuci mulut di kedainya di Pulau Pinang.

Kieda memiliki lebih setengah juta pengikut di aplikasi TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain