suria

Penumpang berdepan detik cemas, pesawat MAS berpatah balik ke Hyderabad kerana masalah enjin

Tangkap layar video yang dirakam oleh salah seorang penumpang menunjukkan percikan api keluar dari enjin pesawat. Foto TOIHyderabad

DIKEMASKINI

PESAWAT Malaysia Airlines yang membawa lebih 100 penumpang terpaksa mendarat cemas di lapangan terbang Hyderabad, India selepas mengalami kegagalan enjin.

Memetik Times of India, menurut pegawai lapangan terbang Hyderabad, penerbangan MH199 yang membawa 138 penumpang ketika itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi menuju ke Kuala Lumpur.

Pesawat itu berlepas pada pukul 12.45 pagi (waktu tempatan) Khamis.

Bagaimanapun, ia berpatah balik ke lapangan terbang berkenaan dan mendarat cemas disebabkan masalah tersebut.

Difahamkan, pesawat itu mengalami kerosakan enjin dan percikan api keluar daripada enjin yang terjejas.

Penumpang dilaporkan terkandas di lapangan terbang berkenaan ketika pesawat masih berada di situ.

Sementara itu, Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengesahkan pesawat bagi penerbangan MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur pada Khamis terpaksa berpatah balik dan mendarat cemas di lapangan terbang di Hyderabad.

Menurut MAB dalam satu kenyataan pada Khamis, ia berikutan masalah dengan salah satu enjin semasa pendakian selepas berlepas.

Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi pada 03:21 pagi waktu tempatan.

"Semua penumpang dan anak kapal turun dengan selamat," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penumpang yang terjejas akan diperuntukkan semula ke penerbangan lain bagi meneruskan perjalanan mereka.

"Pesawat itu kini berada di darat untuk pemeriksaan lanjut. MAB akan kekal mengutamakan keselamatan kesemua penumpang," tambah kenyataan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain