SAMBUTAN Aidiladha warga Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) meriah dengan penganjuran Program Ibadah Korban LKIM yang dilaksanakan bersama komuniti setempat. Ketua Pengarah LKIM, Hamdan Mamat berkata, program tradisi ini sudah masuk kali ke-10 penganjurannya dan tahun ini sebanyak empat ekor lembu dikorbankan.. "Program ibadah korban ini diadakan setiap tahun anjuran Badan Kebajikan Islam LKIM (BAKIS) dengan kerjasama sepenuhnya pengurusan LKIM. "Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan pada tahun ini termasuk seekor disumbangkan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil dengan melibatkan 28 peserta bertugas. "Peserta terlibat dalam program ini pula terdiri daripada kakitangan Ibu Pejabat LKIM dan LKIM negeri, ahli keluarga serta pesara LKIM," katanya di Wisma LKIM Jalan Desaria, Pulau Meranti, pada Khamis. Mohamad Sabu menyampaikan cenderamata kepada kakitangan yang terlibat dalam Program Ibadah Korban LKIM 2024. Program ini bertambah meriah apabila turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu. Mohamad yang menghadiri program di KPKM sebelum itu berkata, sembilan ekor lembu dikorbankan kakitangan KPKM sebelum dagingnya diagihkan kepada mereka yang layak. "Hari ini adalah hari terakhir korban, pada hari raya keempat dan kita harap korban kita kali ini diterima oleh Allah tanda ketauhidan kita kepadaNya. "Saya ucap terima kasih kepada seluruh kakitangan di semua peringkat yang bekerja secara gotong-royong untuk korban hari ini sembilan ekor di KPKM dan empat ekor di LKIM," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube