ANTARA punca kemerosotan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Global (WCR), Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2024 adalah kerana ringgit yang lemah dan kegagalan melaksanakan subsidi bersasar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut Perdana Menteri, WCR 2024 itu dinilai selepas mengambil kira prestasi Malaysia tahun lalu. “Pada 2023, kegagalan melaksanakan subsidi bersasar adalah antara kritikan paling menonjol. “Kedua, ia adalah ringgit yang lemah. Kita akui isu ringgit memang mencabar. Tetapi tahun ini, ada peningkatan,” katanya pada majlis pelancaran Konsortium Impak Positif ESG Asia (A-EPIC) pada Jumaat. Tambah Anwar, Kabinet menerima laporan itu dan kini sedang menangani isu yang dibangkitkan. "Paling penting, kami perhatikan kebimbangan mereka dan tidak dapat dinafikan masih ada penambahbaikan yang perlu dilakukan tahun ini," tambah Anwar. Pada Selasa, dilaporkan kedudukan Malaysia dalam WCR jatuh tujuh anak tangga ke tempat ke-34 daripada 67 negara. Malaysia juga jatuh empat anak tangga ke kedudukan ke-10 daripada 14 negara di rantau Asia-Pasifik, berada di bawah Indonesia dan Thailand. Dalam pada itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata beliau akan menjelaskan tentang penurunan Malaysia dalam laporan WCR 2024. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube