suria

[V] Tiga kuasa media Asia bentuk konsortium pacu perubahan alam sekitar dan sosial

BERSANDARKAN capaian berjumlah lebih 123 juta orang, tiga kuasa besar media serantau bergabung untuk membentuk Konsortium Impak Positif ESG Asia (A-EPIC), yang pertama seumpamanya di Asia.

Terdiri daripada Kumpulan Media Star, Kumpulan Media Kompas Gramedia (KG Media) dan Kumpulan Syarikat Inquirer, tiga rakan media berpengaruh itu bekerjasama untuk mempromosikan komitmen alam sekitar, sosio-ekonomi dan tadbir urus yang progresif untuk kemakmuran masa depan di seluruh rantau ini.

Dalam ucapannya bagi pihak rakan media, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Star, Chan Seng Fatt berkata ketiga-tiga pihak bekerjasama dalam usaha mengejar kemapanan dan impak positif secara kolektif.

Mengakui keperluan mendesak dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang diperhebat secara global sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Chan berkata negara-negara Asia juga semakin menyedari bahawa amalan mampan bukan lagi pilihan tetapi penting untuk masa depan kolektif.

“Sebagai organisasi media utama, kami menerima realiti ini, memahami bahawa media memainkan peranan penting dalam memacu kesedaran dan tindakan.

"Mengambil kira seruan ini, kami mula menilai semula operasi kami untuk menyelaraskan dengan matlamat negara kami untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050," kata Chan dalam ucapannya pada pelancaran A-EPIC di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Chan berkata liputan juga diperluas untuk memasukkan topik kritikal seperti perubahan iklim, Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

ARTIKEL BERKAITAN: Perubahan ESG perlukan anjakan minda, bukan pematuhan peraturan semata-mata - Anwar

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit lemah, pelaksanaan subsidi punca kedudukan daya saing negara merosot - Anwar

“Dengan berbuat demikian, kami berhasrat untuk mendidik orang ramai, memberi inspirasi kepada tindakan dan menyumbang kepada wacana global mengenai kemampanan.

"Komitmen kami untuk tujuan ini tidak pernah berubah," katanya.

Chan menekankan satu kajian baru-baru ini mendapati hanya 25 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana Malaysia melaksanakan prinsip ESG.

“Ini menyerlahkan keperluan untuk kesedaran dan sokongan lebih besar kerana ramai daripada mereka masih bergelut dengan kerumitan ESG dan matlamat kemampanan yang lebih luas,” katanya.

Menyedari cabaran berkenaan, Chan berkata Kumpulan Media Star melabur dalam inisiatif StarESG pada 2022.

Ini menampilkan pengeluaran bulanan StarESG dan Akademi StarESG untuk memudahkan pembelajaran dan perkongsian pengetahuan.

Lebih daripada 400 artikel telah diterbitkan, meliputi kepimpinan pemikiran, amalan terbaik industri dan cerita komuniti.

“Kami juga menganjurkan banyak klinik ESG, webinar, dan bengkel kepimpinan pemikiran, menjangkau lebih 11,000 ahli komuniti perniagaan,” katanya.

Chan berkata KG Media menerajui pelbagai projek di Indonesia untuk memacu kemampanan dan penjagaan alam sekitar.

Mengetengahkan kempen #SayaPilihBumi KG Media, Chan berkata masyarakat di seluruh negara digerakkan untuk mengambil bahagian dalam program penanaman pokok, pengurangan sisa dan kitar semula.

“Seterusnya memperkasakan usaha ini, mereka juga melancarkan kempen Lestari, gerakan kerjasama yang direka untuk meningkatkan inisiatif kemampanan tempatan untuk impak lebih besar,” katanya.

Selain itu Chan menekankan Philippine Daily Inquirer turut mempromosikan prinsip ESG melalui inisiatif termasuk Inquirer ESG Edge.

“Untuk meneruskan misi mereka, rangkaian pemikir dan pakar merentasi pelbagai sektor di Filipina yang berkongsi sokongan kemampanan sama telah dibentuk.

“Rangkaian itu menyediakan laporan dan ulasan berkaitan ESG di samping menganjurkan forum, kempen dan projek komuniti untuk menggalakkan perbincangan dan tindakan yang bermakna,” katanya.

Chan juga mengumumkan bahawa Sime Darby Property Berhad akan menyertai tiga rakan media sebagai Rakan Kepelbagaian Bio Bandar mereka untuk inisiatif konsortium.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tetamu kehormat pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif KG Media, Andy Budiman serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Philippine Daily Inquirer Rudyard Arbolado dan Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad, Datuk Azmir Merican.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono dan Duta Besar Filipina ke Malaysia Maria Angela Abrera Ponce turut hadir.

Daripada Kumpulan Media Star, Pengerusinya Tan Sri Wong Foon Meng; Ketua Pegawai Perniagaan Lydia Wang dan Ketua Pegawai Kandungan, Datin Paduka Esther Ng turut hadir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain