suria

Kecoh gambar kecederaan didakwa Zayn Rayyan tersebar, ini reaksi polis

Polis menjalankan siasatan berhubung penyebaran gambar kecederaan didakwa Zayn rayyan.

SUSULAN penularan gambar kecederaan mayat yang didakwa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, polis kini menjalankan siasatan terhadap perkara tersebut.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, siasatan itu mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang kandungan yang diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

"Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.

"Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana individu didapati berkongsi kandungan berkenaan," katanya dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian pada Ahad.

Terdahulu, kecoh mengenai penyebaran gambar keadaan mayat yang didakwa Zayn Rayyan yang dipercayai ketika proses bedah siasat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! 2 gambar kecederaan didakwa Zayn Rayyan tersebar... Keadaan hampir sama dalam info kertas siasatan viral

Dikatakan dua gambar yang dimuat naik di aplikasi Telegram sejak malam Sabtu itu adalah keadaan mangsa selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Untuk rekod, ibu dan bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pada 6 Disember lalu, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman di Damansara Damai dekat sini, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya.

Ibu bapa kanak-kanak malang itu kemudiannya ditahan pada 31 Mei lalu di sekitar Puncak Alam, Selangor dan direman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain